Showing posts with label bajet untuk guru. Show all posts
Showing posts with label bajet untuk guru. Show all posts

Monday, October 10, 2011

BAJET 2012 : FAEDAH GURU AKAN DIUMUM NOVEMBER INI

Kira-kira 480,000 kumpulan pendidik dalam sektor perguruan di negara ini bakal menerima faedah menerusi peruntukan Bajet 2012.
 
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mengumumkan secara terpeinci faedah yang bakal dinikmati kumpulan berkenaan menerusi bajet yang diperuntukan kepada Kementerian Pejaranpada awal November depan.

“Banyak yang diumumkan oleh Perdana Menteri bagi memperkasakan perkhidmatan awam termasuk sektor pendidikan dan perguruan.“Secara terpeinci akan saya umumkan pada awal November depan mengenai apakah kandungan yang bakal dinikmati oleh guru-guru yang jumlah mereka adalah satu per tiga daripada keseluruhan penjawat awam,”katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Jumaat.

Selain itu Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menerusi Bajet 2012 kerana banyak memberi tumpuan kepada sektor pendidikan.

“Banyak sekali faedah yang bakal dinikmati seperti bantuan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah serta bantuan persekolahan,” katanya.

Saturday, October 8, 2011

Saraan Baru Beri Guru Kenaikan Gaji Terbesar

KUALA LUMPUR: Golongan guru yang meliputi kira-kira sepertiga daripada 1.2 juta penjawat awam mendapat kenaikan gaji terbesar menerusi Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012.

Guru bukan siswazah menerima kenaikan sehingga 39 peratus, manakala guru siswazah menerima kenaikan 37.7 peratus. Sebagai contoh, gaji maksimum guru bukan siswazah gred DGA34 dinaikkan daripada RM3,860 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada RM5,370 mengikut SBPA. Bagi guru siswazah pula, gaji maksimum gred DG48, di bawah SSM ialah RM6,325 menjadi RM8,710 mengikut SBPA.

Perdana Menteri juga mengumumkan bantuan persekolahan one-off RM500 untuk isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 bagi menangani kos sara hidup.
Bajet 2012 juga memberi durian runtuh kepada 5.3 juta pelajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima yang layak mendapat bantuan RM100 untuk setiap pelajar.
Sebanyak RM530 juta diperuntukkan untuk bantuan itu yang akan dilaksanakan menerusi Bank Simpanan Nasional.

Kerajaan juga memperkenal Dana Pengkomersialan Inovasi RM500 juta untuk membolehkan institusi pengajian tinggi dan perusahaan kecil dan sederhana mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan.

Seramai 20,000 guru diploma diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dengan yuran dibiayai Kementerian Pelajaran. Bajet berkenaan menyediakan dana RM80 juta bagi bantuan yuran pengajian itu.
Sementara itu, Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menganggap penurunan tempoh kenaikan gred guru siswazah daripada DG44 kepada DG48 daripada 20 tahun ke 16 tahun sebagai penghargaan besar kepada pendidik di seluruh negara dan tanda kerajaan mendengar rintihan rakyat.

Presidennya, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata pengurangan tempoh itu bermakna guru siswazah yang cemerlang berpeluang untuk mencapai gred DG52 dan DG54 sebelum usia persaraan yang kini dinaikkan kepada 60 tahun.

KGMMB sangat berpuas hati dengan pengumuman dalam Bajet 2012 kerana turut membabitkan penurunan tempoh kenaikan gred mengikut time-based yang membuka peluang kenaikan gaji bagi guru yang enggan menerima kenaikan pangkat kerana sukar berpindah rumah atau komitmen lain.

Guru yang tidak dilantik sebagai pengetua atau pegawai pelajaran daerah kekal di sekolah sebagai pendidik tetapi masih menerima kenaikan gred, katanya ketika dihubungi di sini, semalam

Sumber : Berita Harian