Thursday, November 17, 2011

SEKOLAH JANGAN MEMANDAI-MANDAI POTONG WANG RM100

      Memang perkara ini berlaku bila sekolah memandai-mandai potong wang RM100 agar ibu bapa membayar yuran PIBG atau yuran sekolah yang belum dibayar.  Tapi perkara ni tak sepatutnya berlaku kerana kerajaan tidak meletakkan syarat bahawa wang tersebut perlu digunakan untuk membayar yuran.  Pihak sekolah tidak perlu mengambil kesempatan keatas ibu bapa yang mungkin tidak mampu untuk membayar yuran, begitu juga pihak PIBG.  Apatah lagi wang RM100 adalah digunakan untuk membantu ibu bapa memulakan persekolahan bagi tahun hadapan.  Dan ibu bapa yang mampu pula tidak sepatutnya mengabaikan yuran yang sepatutnya dibayar.  So sama2lah kita menjalankan tanggung jawab masing2 ya.

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Pentadbir sekolah diingatkan supaya tidak melakukan sebarang pemotongan ke atas wang bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar khasnya untuk menjelaskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, sekolah yang sudah berbuat demikian perlu mengembalikan wang tersebut kepada pelajar.  Katanya, tindakan pemotongan itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia bertentangan dengan hasrat kerajaan meringankan beban kewangan menjelang pembukaan musim persekolahan baru serta bakal menimbulkan salah faham di kalangan ibu bapa pelajar.  ''Nanti ada bapa yang mengatakan kita (kerajaan) cakap lain tetapi kita buat lain. Bukan kita yang melakukan (potongan) ini tetapi sekolah.

''Bagi saya, apa pun asas yang disebutkan untuk buat potongan itu, ia tidak harus dibuat pada sumbangan kerajaan kepada pelajar.  ''Wang bantuan RM100 itu mesti diberi sepenuhnya, jangan kurang satu sen pun," katanya pada sidang akhbar selepas majlis sepetang Timbalan Perdana Menteri bersama belia Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan seorang ahli jawatankuasa PIBG bahawa terdapat sekolah memotong bayaran wang RM100 bagi kegunaan pembayaran yuran PIBG. Tanpa mendedahkan jumlah pelajar yang telah menerima bantuan itu setakat ini Timbalan Perdana Menteri berkata, sebanyak RM550 juta diperuntukkan kerajaan bagi membiayai program pemberian bantuan RM100 kepada kira-kira 5.5 juta pelajar di seluruh negara.

''Saya meminta kerjasama daripada pentadbiran sekolah supaya melaksanakan sepenuhnya pemberian duit bantuan RM100 kepada pelajar tanpa melakukan sebarang pemotongan. ''Kalau ada perkara berbangkit, eloklah mereka (pihak sekolah) bincang dahulu dengan PIBG dan jangan terlebih awal membuat potongan bantuan ini pada penghujung musim persekolahan," katanya.

Sementara itu, ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 warga belia, Muhyiddin berkata, generasi muda perlu berfikiran global, kaya ilmu, kepakaran dan pengetahuan bagi memastikan mereka tidak bertindak secara melulu.  Beliau berkata, ciri-ciri seperti itu amat penting kerana mereka menjadi penentu kepada pencapaian dan kejayaan negara di masa akan datang.

No comments:

Post a Comment